Wednesday, August 6, 2008

Pulih MRR2 Ke Tahap Terbaik

PUTRAJAYA 4 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Kerja Raya supaya memastikan proses membaik pulih Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke tahap terbaik bagi mengelakkan keretakan berulang.
Sambil melahirkan dukacita dengan insiden keretakan kali kedua lebuh raya itu semalam, Perdana Menteri berkata, kejadian itu memberikan reaksi negatif kepada rakyat setelah belanja besar sehingga RM70 juta dikeluarkan bagi kerja baik pulih sebelum ini.
''Ketika berada dalam kereta tadi saya terlihat antara tajuk besar laporan akhbar menyebut MMR2 retak lagi...apa yang diberitakan itu tentu tidak menyenangkan hati dan sesiapa membaca tajuk utama itu akan membuat kesimpulan mengenainya.''Dalam fikiran mereka tentu menyatakan ini adalah tidak baik.
''Sebenarnya masalah ini dapat dielakkan sekiranya pihak bertanggungjawab berhati-hati dan memastikan apa yang telah dibaiki sudah teguh dan tidak akan berlaku lagi dalam masa yang singkat keretakan atau kerosakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Laporan utama akhbar hari ini menyebut MMR2 yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah dibaik pulih menggunakan belanja tambahan sebanyak RM70 juta mengalami keretakan sekali lagi.
Pagi semalam beberapa pemandu melaporkan mereka ternampak batu-batu jatuh dari salah satu rasuk jejambat itu dekat Stesen Komuter Kepong.
Selepas pemeriksaan, keretakan dikesan pada salah satu rasuk tiang jejambat itu. Tiga daripada 18 batang carbon fibre reinforced plastic (CFRP) prategasan yang dipasang pada struktur itu didapati putus secara tiba-tiba.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, CFRP tersebut digunakan pada rasuk 31 batang tiang jejambat berkenaan untuk menyelesaikan masalah keretakan yang pernah berlaku sebelum ini.
Menurut Abdullah, laporan mengenai keretakan jejambat pada lebuh raya tersebut sudah pasti mengundang rasa tidak gembira, bahkan boleh membangkitkan kemarahan rakyat.
Sedangkan, kata beliau, sekiranya selepas kerosakan pertama berlaku, kerja-kerja membaik pulih dilakukan dengan baik ia mampu menghilang keresahan orang ramai terhadap tahap keselamatan lebuh raya itu.
''Ini kerana ia akan menakutkan (rakyat) kalau berlaku keruntuhan dan kemalangan, ini sudah tentu tidak baik," katanya.

Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (5 Ogos 2008)

Harga Minyak Akan Jatuh AS$100 Setong

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan harga minyak dunia akan jatuh sekitar AS$100 (RM326) setong tidak lama lagi berikutan menyusutnya permintaan terhadap bahan api itu.
Pengarah Eksekutifnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, kemelesetan ekonomi yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia ini telah mempengaruhi permintaan terhadap komoditi berkenaan .
''Secara logiknya, berdasarkan pengiraan permintaan dan bekalan minyak, memang tidak ada sebab mengapa harga minyak perlu melonjak ke paras melebihi AS$100
''Kenaikan minyak berterusan yang dialami dunia sebelum ini adalah disebabkan oleh aktiviti spekulasi dan masalah geopolitik,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau, bagaimanapun mengingatkan harga minyak dunia masih berpotensi untuk meningkat sekiranya negara-negara tertentu seperti Iran membuat kenyataan yang mendorong kenaikan semula bahan api itu.
Mohamed Ariff berkata, meskipun penurunan harga minyak merupakan berita baik untuk ekonomi negara tetapi kerajaan pula akan kehilangan hasil kerana 44 peratus pendapatan datangnya daripada sumber minyak.
Ditanya tentang langkah kerajaan untuk menyelaraskan harga runcit petrol berdasarkan harga pasaran purata bulanan minyak, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang munasabah.
Mulai 1 September depan, harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran purata bulanan minyak, manakala subsidi yang diberikan oleh kerajaan dikekalkan pada kadar 30 sen seliter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mengumumkan pelaksanaannya setelah kerajaan mengkaji secara teliti pola menurun harga minyak mentah dunia kebelakangan ini yang telah turun kepada AS$122 (RM398) setong pada 29 Julai lalu berbanding harga tertinggi AS$148 (RM482) setong pada awal bulan itu.
Dengan langkah itu, harga petrol berkemungkinan naik atau turun mengikut harga minyak di pasaran dunia.
Mohamed Ariff, bagaimanapun berkata, kerajaan perlu mengambil lebih masa untuk meneliti cadangan berkenaan bagi memberi lebih masa kepada pasaran menentukan harga bahan api itu.
Tambah beliau, dengan cara tersebut kerajaan berupaya menyelaraskan harga runcit petrol dengan cara lebih baik dan lebih penting tidak akan menyusahkan pengguna.
Beliau berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan itu pernah dilakukan oleh beberapa negara lain yang turut memberi subsidi kepada rakyatnya.
Bagaimanapun, beliau menyatakan amalan mengenakan cukai bagi penggunaan subsidi dilihat lebih baik berbanding subsidi kerana ia dapat mengawal penggunaan minyak dalam kuantiti yang banyak.
Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (5 Ogos 2008)