Wednesday, August 6, 2008

Harga Minyak Akan Jatuh AS$100 Setong

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan harga minyak dunia akan jatuh sekitar AS$100 (RM326) setong tidak lama lagi berikutan menyusutnya permintaan terhadap bahan api itu.
Pengarah Eksekutifnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, kemelesetan ekonomi yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia ini telah mempengaruhi permintaan terhadap komoditi berkenaan .
''Secara logiknya, berdasarkan pengiraan permintaan dan bekalan minyak, memang tidak ada sebab mengapa harga minyak perlu melonjak ke paras melebihi AS$100
''Kenaikan minyak berterusan yang dialami dunia sebelum ini adalah disebabkan oleh aktiviti spekulasi dan masalah geopolitik,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau, bagaimanapun mengingatkan harga minyak dunia masih berpotensi untuk meningkat sekiranya negara-negara tertentu seperti Iran membuat kenyataan yang mendorong kenaikan semula bahan api itu.
Mohamed Ariff berkata, meskipun penurunan harga minyak merupakan berita baik untuk ekonomi negara tetapi kerajaan pula akan kehilangan hasil kerana 44 peratus pendapatan datangnya daripada sumber minyak.
Ditanya tentang langkah kerajaan untuk menyelaraskan harga runcit petrol berdasarkan harga pasaran purata bulanan minyak, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang munasabah.
Mulai 1 September depan, harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran purata bulanan minyak, manakala subsidi yang diberikan oleh kerajaan dikekalkan pada kadar 30 sen seliter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mengumumkan pelaksanaannya setelah kerajaan mengkaji secara teliti pola menurun harga minyak mentah dunia kebelakangan ini yang telah turun kepada AS$122 (RM398) setong pada 29 Julai lalu berbanding harga tertinggi AS$148 (RM482) setong pada awal bulan itu.
Dengan langkah itu, harga petrol berkemungkinan naik atau turun mengikut harga minyak di pasaran dunia.
Mohamed Ariff, bagaimanapun berkata, kerajaan perlu mengambil lebih masa untuk meneliti cadangan berkenaan bagi memberi lebih masa kepada pasaran menentukan harga bahan api itu.
Tambah beliau, dengan cara tersebut kerajaan berupaya menyelaraskan harga runcit petrol dengan cara lebih baik dan lebih penting tidak akan menyusahkan pengguna.
Beliau berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan itu pernah dilakukan oleh beberapa negara lain yang turut memberi subsidi kepada rakyatnya.
Bagaimanapun, beliau menyatakan amalan mengenakan cukai bagi penggunaan subsidi dilihat lebih baik berbanding subsidi kerana ia dapat mengawal penggunaan minyak dalam kuantiti yang banyak.
Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (5 Ogos 2008)

No comments: